World Breastfeeding Week 2025

Kenyataan Rasmi Persatuan Perunding Laktasi Malaysia (MALCA) Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2025: “Utamakan Penyusuan Susu Ibu. Wujudkan Sistem Sokongan Mampan.”

Selaras dengan sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia (WBW) 2025, yang berlangsung pada 1–7 Ogos, Persatuan Perunding Laktasi Malaysia (MALCA) , rangkaian International Board Certified Lactation Consultants (IBCLCs) di Malaysia dengan bangganya menyokong tema tahun ini iaitu “Utamakan Penyusuan Susu Ibu. Wujudkan Sistem Sokongan Mampan.”

Dalam menghadapi cabaran perubahan iklim sejagat dan keperluan sistem kesihatan yang berdaya tahan, sokongan terhadap penyusuan susu ibu perlu diiktiraf sebagai salah satu keutamaan dari segi kesihatan dan kelestarian alam sekitar. MALCA menyahut seruan World Alliance for Breastfeeding Action (WABA) bahawa, apabila penyusuan susu ibu dilindungi, dipromosikan, dan disokong, ia bukan sahaja mewujudkan komuniti yang lebih sihat—malah membantu mewujudkan alam sekitar yang lebih lestari.

Namun, kita perlu mengakui bahawa penyusuan susu ibu bukanlah sesuatu yang mudah. Ramai ibu bapa berdepan cabaran besar, terutamanya apabila menghadapi isu kekurangan sokongan melibatkan penyusuan susu ibu. WBW 2025 menekankan empat objektif utama sebagai panduan tindakan:

  1. Memaklumkan semua pihak tentang peranan mereka dalam mewujudkan persekitaran yang menyokong dan mampan dalam penyusuan susu ibu.
  2. Mengukuhkan sokongan penyusuan susu ibu secara berterusan sebagai komponen penting untuk membina persekitaran yang mampan.
  3. Melibatkan individu dan organisasi untuk meningkatkan kerjasama dalam menyokong penyusuan susu ibu.
  4. Menggerakkan tindakan bagi menghubungkan sistem sokongan penyusuan susu ibu untuk benar-benar membina persekitaran yang mampan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bersama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Kementerian Kesihatan Malaysia, menekankan bahawa melindungi, mempromosi, dan memudah cara penyusuan susu ibu bukan sahaja pilihan yang betul, ia juga merupakan antara langkah ekonomi yang pintar dan penting untuk kesihatan masyarakat. Sebahagian daripada kempen Healthy Beginnings, Hopeful Futures, mesej utama WHO tahun ini termasuk:

  1. Pelaburan dalam perkhidmatan kaunseling penyusuan susu ibu oleh tenaga mahir
  2. Penguatkuasaan Tata Etika Pemasaran Produk Gantian Susu Ibu
  3. Mewujudkan persekitaran sokongan penyusuan susu ibu di rumah, fasiliti kesihatan, dan tempat kerja

Apakah kepentingan kelestarian penyusuan susu ibu?

Penyusuan susu ibu adalah sumber nutrisi semula jadi, boleh diperbaharui, dan bebas sisa , tanpa pencemaran, pembungkusan, atau pelepasan karbon. Sebaliknya, penyusuan menggunakan susu formula bergantung kepada proses perindustrian, pembungkusan, dan rangkaian pengedaran global yang menyumbang kepada perubahan iklim.

WHO mengingatkan kita bahawa penyusuan susu ibu:

  1. Mampu mengurangkan kos perbelanjaan kesihatan
  2. Meningkatkan perkembangan kanak-kanak
  3. Menguatkan daya tahan masyarakat
  4. Memberi manfaat kepada kesihatan manusia dan alam sekitar

Seruan MALCA

MALCA komited memastikan Malaysia terus bergerak ke arah mencapai sasaran WHO – World Health Assembly iaitu 70% penyusuan eksklusif selama 6 bulan menjelang 2030. Demi mencapai sasaran ini, ia memerlukan komitmen pelbagai pihak dalam “Rantaian Sokongan Hangat” yang terdiri daripada pembuat dasar, profesional kesihatan, majikan, komuniti, dan ibu bapa.

Penyusuan perlu diberi keutamaan dalam dasar dan sumber terutama di fasiliti kesihatan dengan:

  1. Memastikan anggota kesihatan dan professional kesihatan dilatih dengan latihan berkaitan penyusuan susu ibu yang betul
  2. Melaksanakan garis panduan terkini Baby-Friendly Hospital Initiative (BFHI)
  3. Memastikan capaian kepada Perunding Laktasi IBCLC yang bertauliah
  4. Melibatkan komuniti dalam mempromosi sokongan budaya dan praktikal kepada ibu yang menyusu bayi dan keluarga mereka.

Komitmen MALCA

Berpandukan slogan kami, “Membudayakan Profesionalisme ke Arah Penjagaan Laktasi Berkemahiran,” MALCA berdedikasi untuk:

  1. Memperjuangkan dasar penyusuan susu ibu yang mampan
  2. Bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi membina sistem sokongan berkaitan penyusuan susu ibu yang berterusan
  3. Memperkasa ibu menyusu dengan penjagaan berasaskan dapatan kajian melalui khidmat Perunding Laktasi IBCLC

Selaras dengan strategi WHO dan kempen global WBW 2025, MALCA percaya bahawa melindungi, mempromosi, dan menyokong penyusuan susu ibu adalah keutamaan dalam kesihatan awam dan kelestarian alam. Kami komited untuk menyokong keluarga melalui penjagaan laktasi yang berkemahiran, berempati, dan berasaskan dapatan kajian. Melalui advokasi, kolaborasi, dan pendidikan berterusan, kami ingin membantu setiap ibu bapa di Malaysia menyusu dengan yakin dan tanpa kompromi.

Sebagai sokongan kepada tema Hari Kesihatan Sedunia 2025, yang menekankan keperluan menutup jurang penjagaan wanita, ibu, dan kanak-kanak, MALCA menyeru semua sektor mengutamakan penyusuan susu ibu sebagai pelaburan penting untuk kesejahteraan sepanjang hayat. Menyokong penyusuan bukan sekadar pemakanan bayi, tetapi juga penting dalam memantapkan kesihatan ibu, mengurangkan ketidaksamarataan kesihatan, dan memberi setiap anak permulaan hidup yang terbaik.

Mari kita satukan usaha untuk mengutamakan penyusuan susu ibu demi kesihatan anak-anak dan kelestarian alam sejagat kita.

Yang benar,
Persatuan Perunding Laktasi Malaysia (MALCA)
Ahli Jawatankuasa 2024–2026